Sunday, 17 July 2011
IPG Kampus PM, Melaka Slideshow
Ipg Kampus pm, Melaka Slideshow: "TripAdvisor™ TripWow ★ Ipg Kampus pm, Melaka Slideshow ★ to Melaka. Stunning free travel slideshows on TripAdvisor"
Thursday, 14 July 2011
KENALI "BUGAR DAN PUGAR"
Kamus Dewan Edisi Keempat (2005) menjelaskan "bugar" sebagai pelengkap kepada kata ganda "segar-bugar" yang bermakna sangat sihat (hal. 212). Kata terbitan bugar" bagi kata dasar "bugar" ialah kebugaran, iaitu 1. hal subur (tentang tumbuhan); 2. hal sihat dan segar (tentang tubuh manusia). Tidak ada kata terbitan "pembugaran" bagi entri "bugar". Dalam konteks judul kursus "Pembugaran dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa", panel penyedia modul telah memutuskan untuk memilih istilah "pembugaran" dan bukan "pemugaran".
Kata dasar "pugar" dalam Kamus Dewan Edisi Keempat (2005: 1241) memaparkan makna yang lebih menyerlahkan inti sari dan hasrat kursus. Kamus Dewan menjelaskan bahawa kata dasar "pugar" juga bersinonim dengan kata dasar "bugar", iaitu sihat benar. Kata terbitan yang dikemukakan dalam kamus ialah "memugar" dan "memugari" yang bermaksud 1. memperbaiki, memperelok semula, membaharui, memulihkan; sementara "pemugaran" diberikan maksud pemulihan semula, pembaikan kembali, pembaharuan; 2. perihal memugar (membuka, mengusahakan) tanah.
Daripada penjelasan di atas, tampak bahawa perkataan yang lebih menepati maksud kandungan kursus ialah "pemugaran". Hal ini demikian kerana kursus ini bertujuan untuk memperelok strategi, membaharui semangat, memulihkan suasana muram, dan membuat pembaharuan dalam situasi pengajaran dan pembelajaran, sama ada yang berlangsung di bilik darjah atau di luar bilik darjah.
Dengan ini, yakinlah kita bahawa kursus "pemugaran" dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa lebih menampilkan maksud yang diingini daripada kita memilih perkataan "pembugaran". Walau bagaimanapun, kedua-dua perkataan, "bugar" dan "pugar" tidaklah berlawanan maksud, justeru tidaklah bersalahan jika penggunaan nama "kursus pembugaran" dipilih.
PENGENALAN KURSUS
Program MBM dalam Kursus Dalam Perkhidmatan (KDP) 4 Minggu Peningkatan Profesionalisme ini memfokuskan kepada pengetahuan kandungan (content knowledge) Bahasa Melayu(BM) yang terkini kepada guru opsyen dan guru bukan opsyen BM di sekolah rendah dan di sekolah menengah. Selain itu, bagi memastikan impak optimum penggunaan pengetahuan kandungan BM tersebut dapat dicapai, strategi penyampaian yang kreatif, inovatif serta pengintegrasian elemen didik hibur dan kemahiran Abad 21 diberikan secara tunjuk cara dan aplikasi dalam pengajaran dan pembelajaran BM.
Melalui kursus Pembugaran dalam Pengajaran dan Pembelajaran BM yang ditawarkan dalam program ini, peserta akan mendapat pengetahuan kandungan cara-cara menggalakkan penggunaan BM melalui aktiviti berbahasa di dalam dan di luar bilik darjah dengan memfokuskan kepada kemahiran berlisan dan pengucapan awam seperti bersyarah, berpidato dan berpuisi. Kemahiran berbahasa murid dan pelajar boleh diaplikasikan dalam aktiviti-aktiviti berbahasa secara menarik dan berstruktur seperti di atas. Selain daripada itu, aktiviti berbahasa tersebut juga boleh meningkatkan keyakinan berkomunikasi dalam bahasa Melayu dalam kalangan murid dan pelajar. Elemen ini dapat membugarkan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan khalayak dan memartabatkannya sebagai bahasa perhubungan utama dan alat perpaduan.
Tajuk-tajuk kursus MBM KDP 4 Minggu Peningkatan Profesionlaisme ini menggunakan istilah Bahasa Melayu kerana Bahasa Melayu merupakan epistemologi kepada Bahasa Malaysia selaras dengan Akta 152.
Subscribe to:
Posts (Atom)